About Me

My photo
An Air Asia Cabin Crew/ Entrepreneur

Saturday, 28 December 2013

Timur, utara, barat, selatan- Kemana haluan?

Assalammualaikum insan berwawasan,

Pengertian, ketulusan dan penghayatan. Saya layangkan yang tersirat bersimpul mati ke dalam ungkapan berbahasa. Burung itu kita, sayap itu kekuatan dan terbangnya itu impian.

Setiap daripada kita mempunyai impian masing-masing. Begitulah mudahnya menanam impian dan sukarnya mengejar cita-cita. Impian kita kadangkala jauh sampai ke langit dan ada juga yang hampir untuk digapai dengan tangan. Begitulah saya. Saya percaya, kehidupan ini tidak ada yang mudah kerana segalanya perlu diusahakan. Dunia ini adil, adil sekiranya kita percaya Allah yang merencana segalanya. Melihat yang kita tidak lihat, merancang yang kita tidak rancang dan mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Kerana cuma Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita. 

Selama saya mengenali diri, saya tahu saya ini seorang yang degil. Kedegilan ini selalunya saya gunakan untuk meminta-minta kepada Allah untuk memberikan saya peluang. Terasa begitu berhutang kepadaNya. Saya tahu cuma dia yang mendengar. Saya degil kerana saya terlalu nekad mengejar impian. Saya selalu berkata di dalam diri, saya tidak inginkan merasai kekayaan, kemewahan dan pangkat apatah lagi nama untuk diagungkan. Apa yang saya mahukan kepuasan hidup, kepuasan saya mengejar agenda yang telah saya rencanakan. Pergi jauh dan mencari haluan hidup sendiri. 

Inilah masa untuk saya mencari kehidupan sebenar, keluar daripada kepompong. Bukan kerana ingin lari daripada tanggungjawab yang ada tapi mengenal nilai sebenar usaha dan bebanan, sebelum memikul peranan yang lebih hebat mendatang. Apa yang penting sekali, restu di dalam pembebasan kerana segala-galanya bermula dengan keberkatan. Mengejar apa yang saya impikan untuk cara mencapai aras tertinggi Hierarki Keperluan Maslow iaitu Self-esteem. Saya ingin mengenali diri, menjelajah, menggapai bintang dan merialisasikan tekad. 

Saya tahu kerana saya dilahirkan sebagai orang biasa Allah pasti akan memberikan jalan yang seadilnya untuk saya berpaut selama hayat ini. Lantas, kemungkinannya cuma ada dua, pulang kerana tiada upaya atau terus terbang bersama kekuatan hati. Sejauh mana burung itu terbang, setinggi mana cecitanya ditanamkan, suatu hari dia pasti akan pulang. 

Thursday, 26 December 2013

Sebulan Bergelar Graduan

Hi, pejam celik pejam celik, rupanya genap sebulan sudah saya bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah. Huh, tiada apa yang boleh dibanggakan. Sejak sebulan lalu saya berusaha mencari pekerjaan, menghadiri sebarang temuduga, menghantar resume dan menyertai karnival-karnival kerjaya. Tapi masih belum berhadil. Pun begitu, sebelum cuti semester lepas sempat jugalah saya mengisi ruang yang ada untuk menjadi guru ganti si salah sebuah sekolah pedalaman. Dapat jugalah saya menghindarkan diri daripada dicop sebagai penganggur bertauliah. Haha

Saya mengakui menjadi seorang graduan ini merupakan cabaran baru dalam hidup. Cabaran yang akan menduga kesabaran serta memberikan tekanan baru dalam hidup. Apabila orang dipersekitaran mula sibuk bertanya, apakah yang sedang saya lakukan sekarang? Agak terkedu-kedu jugalah menjawabnya. Apapun kehidupan ini harus diteruskan dengan tenang dan jangan mengalah untuk terus berkerja lebih kuat lagi.

Sekali-sekala chit-chat dengan kawan-kawan seuniversiti. Ada juga sebilangan kecil yang sudah pun mula membina kerjaya masing-masing. Tapi ramai jugalah dalam kalangan kami yang asyik mengeluh nasib kerana masih belum bertemu jalan. Walau apapun, jangan sesekali pernah berhenti, mungkin belum rezeki lagi. InsyallaAllah bila rezeki datang nanti bila Allah nampak kita bekerja keras, berwawasan dan mempunyai matlamat serta diiringi dengan tawakkal.


Hendak dikhabarkan kepada semua, 21 Desember lepas saya ada juga pergi sekali lagi menghadiri temuduga terbuka yang diadakan di Airasia Bhd, Kota Kinabalu dan syukur Alhamdulillah, saya terpilih diantara 11 orang lain daripada 70 lebih orang yang menghadiri temuduga sama. Masing-masing 6 lelaki dan 5 perempuan. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kegembiraan saya pada ketika itu. Ucapan yang terkeluar dari bibir hanyalah rasa syukur kepada yang Maha-Esa.

Sebagaimana yang disarankan, kami tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi di dalam temuduga ini. Walaupun kami telah terpilih tetapi kami masih lagi perlu melalui beberapa saringan mengikut prosedur yang di tetapkan oleh Airasia. Menurut salah seorang rakan yang terpilih pada ketika itu, kami semua yang terpilih akan dihubungi melalui telefon dan E-mail selepas 2 minggu. Saya mengharapkan doa pembaca semua. Semoga Allah memberikan kemudahan dalam saya mengejar impian ini.

Apapun keputusannya, semoga saya dapat menerima segalanya dengan hati terbuka, yang penting jangan putus asa dan teruskan mencuba. Saya percaya apabila kita mengkehendakinya, Allah pasti akan berikan kita petunjuk jalan sebagaimana yang telah direncanakannya. Saya masih ingat kata-kata terakhir saya semasa temuduga lepas, “I don’t  believe on luck. if you want it you have to work for it”. 

Tuesday, 22 October 2013

Mengejar Mimpiku Bersama Airasia

Assalammualaikum..

Sudah cukup lama juga saya tidak meng-update blog ini. Alhamdulillah, hari ini terasa ingin pula saya mencoretkan sesuatu di laman ini. Pertama sekali, saya ingin berkongsi rasa kesyukuran saya kehadrat ilahi kerana tahun akhir pengajian saya telah lama selesai dan saya akan bergraduasi pertengahan bulan hadapan. Kedua, saya ingin berkongsi kepada ada perjuangan saya dalam mengejar impian saya sebagai pramugara Airasia yang masih belum kesampaian.

Sekiranya anda pernah membaca coretan saya ketika penerbangan pertama saya bersama Airasia pada tahun 2010, di mana ketika itu saya berada di tingkatan 6. Saya pernah memberitahu anda pengalaman saya terbang bersama Airasia ke Jakarta mengikuti Program Lawatan Sambil Belajar sekolah. Anda ingin tahu, impian itu sebenarnya tidak pernah padam. Sehingga ke hari ini saya masih lagi menyimpan impian tersebut di dalam hati yang terdalam.

Berkongsi pengalaman saya menghadiri temuduga Airasia cukup banyak membantu mematangkan diri saya untuk berinteraksi secara profesional. Setakat ini saya telah menghadiri sebanyak 3 kali temuduga yang sama. Keinginan dan hasrat saya ini saya kongsikan dengan keluarga dan mereka sentiasa menyokong serta mendorong saya di dalam mengejar matlamat itu. Sungguhpun begitu, usaha yang saya lakukan masih lagi gagal sehingga kali yang ketiga. Tetapi semangat itu tidak pernah padam.

Pertama kali saya menghadiri temuduga yang di jalankan di Pejabat Airasia, Terminal 2 Airasia, saya telah dipertemukan dengan 2 orang penemuduga yang amat baik pada pandangan saya. Kedua-duanya wanita. Sebelum itu, untuk pengetahuan anda pada malam sebelum saya menghadiri temuduga saya sedikit sebanyak telah melakukan persediaan rapi berkenaan apa yang akan saya pakai, bagaimana saya akan memperkenalkan diri dan sebagainya. Sungguhpun saya masih di tahun 3 semester ke 5 dan hanya tinggal 1 semester untuk menghabiskan pengajian saya. Tetapi saya tidak pernah terfikir untuk datang ke temuduga ini dengan sia-sia. Justeru itu, persediaan rapi saya lakukan untuk memastikan penemuduga melihat kesungguhan saya.

Berbekalkan ketinggian 172cm, berpakaian formal lengkap, persediaan asas yang mencukupi dan keyakinan bertutur dalam berbahasa Inggeris saya datang ke temuduga tersebut pada pukul 11 pagi. Syukur, pemeriksaan dokumen dan pemeriksaan ketinggian (stage 1 dan stage 2) saya lepasi. Namun, masih ada lagi aras lain yang perlu saya tempuhi iaitu aras yang akan mengukur kebolehan bahasa Inggeris saya dan juga kelancaran di dalam membaca pengumuman.

Bercerita ketika sesi temuduga di jalankan, saya telah ditanya berkenaan latar belakang personal, pendidikan dan keluarga. Selepas itu, saya di kehendaki untuk membaca pengumuman yang disediakan di atas meja. Ketika itu, saya berasa agak tenang dan dapat mengawal perasaan yang gementar dengan amat baik. Pun begitu, saya disarankan oleh penemuduga untuk kembali menyambung pengajian saya di UMS. Sejujurnya saya amat kecewa tetapi masih lagi menyimpan setiap bait-bait perkataan yang diutarakan oleh kedua-dua penemuduga tersebut yang mana saya masih mengingati nama yang tertulis di atas poket kanan baju penemuduga itu ialah Yana.

Yana seorang yang amat baik daripada pengamatan saya kerana beliau telah berjaya memberikan saya semangat dan kekuatan untuk menyimpan cita-cita ini. Saya masih ingat beliau berkata kepada saya dengan penuh hemat. “Shafik, now I won’t talk like an interviewer, I wanna talk like your sister. We want you to be a part of us. But, you have to finish your study first”. Itulah kata-kata beliau. Apabila saya mengatakan berkenaan peluang, beliau menyambung. “Yes, ill going to give you chance once you finish your study”. Banyak sebenarnya yang beliau telah katakan pada ketika itu, beliau turut bercerita berkenaan pengalamannya semasa mengendalikan krew-krew kabin yang mana boleh saya jadikan tauladan untuk meneruskan impian ini.


Sejak dari itu, saya tidak pernah mati untuk bermimpi terbang bersama Airasia. Temuduga kedua, saya telah datang ke lokasi temuduga tanpa sebarang harapan untuk terpilih. Hal ini kerana saya masih lagi menjalani praktikal di salah sebuah institusi pendidikan vokasional. Pun begitu, tujuan utama saya menghadiri temuduga ini adalah bagi memastikan I’ll never miss the chance. Disamping menyimpan kata-kata Miss Yana dan rakanya “Yes, This is the spirit what we want” dengan serentak apabila saya mengatakan “I’ll be back” selepas temuduga di jalankan pada sesi lepas. Pada masa yang sama, saya sememangnya tahu yang saya tidak akan di pilih memandangkan wajah saya baru sahaja sembuh daripada kesan jerawat. Mungkin disebabkan kualiti tidur dan pemakanan yang tidak konsisten untuk persediaan ke semester akhir. Seperti yang saya jangkakan, hal itu telah ditegur oleh penemuduga pada hari tersebut.

Kali ketiga temuduga yang saya hadiri. Saya telah melakukan persediaan 2 minggu daripada hari tersebut. Mujur hal berkenaan temuduga itu telah dimaklumkan oleh kawan baik saya. Atas harapan yang besar dan keinginan yang tinggi. Saya telah melakukan persediaan mental dan fizikal. Harapan saya cukup besar. Pun begitu, saya turut meletakkan sedikit persediaan mental dengan bahan-bahan yang positif sekiranya temuduga ini masih lagi gagal. Itulah hakikatnya, temuduga yang saya hadiri masih juga gagal. Sejujurnya, saya tidak pernah berasa patah hati sungguhpun amat kecewa. Kali ini isu yang telah menyebabkan saya gagal ialah disebabkan parut kecil yang telah lama di sebelah kiri mata saya. Penemuduga yang saya pasti berbangsa India tetapi tidak saya ingati nama beliau mengatakan kepada saya hal ini “I like the way your thought, I like your style, but the way your thought that you will get a better job than”. Sungguhpun saya telah menjelaskan kepada beliau dengan sedaya upaya saya sehingga saya memujuk beliau dengan berkata “sir, please give me this chance. This is what I want sir”.

Di akhir kata-kata beliau “whatever happened you have to take it positively”. Saya cukup kecewa. Kekecewaan itu mungkin muncul apabila teringat akan dugaan-dugaan yang terpaksa saya hadapi untuk sampai ke lokasi temuduga dan parut tersebut mungkin tidak akan memberikan saya peluang lagi untuk selamanya. Pada ketika itu, saya cukup bersungguh-sungguh. Saya dikehendaki untuk menyanyi di hadapan calon-calon yang lain. Walaupun terkejut dengan kehendak tersebut tetapi apa yang terpancul dari bibir saya ialah “anything for Airasia”. Saya mengambilnya dengan positif. Saya merasakan ini mungkin belum lagi rezeki saya dan saya perlu berusaha lebih lagi pada masa akan datang.

Walaupun sudah kali yang ke tiga saya gagal dalam temuduga ini, cinta saya, minat dan kesungguhan saya tidak pernah padam. Saya sentiada bersedia daripada pelbagai aspek terutamanya penjagaan diri. Saya akan membuktikan suatu hari kepada Airasia bahawa saya benar-benar ingin terbang bersamanya kerana cinta saya yang mendalam kepada Airasia. Saya akan sentiasa berusaha merebut peluang  sekiranya ada, bukan kerana saya tidak mempunyai pilihan lain di dalam pekerjaan. Tetapi perkara yang paling utama di dalam diri saya ialah kepuasan apabila saya dapat mengejar impian saya. Paling penting sekali kepuasan bekerja daripada dorongan minat saya untuk sentiasa berinteraksi dengan pelbagai variasi masyarakat. Keinginan saya yang mendalam untuk mengaplikasikan nilai-nilai profesionalisme yang saya ada ini di dalam melakukan tugas. Pada saya tidak penting segulung ijazah yang saya perolehi sekiranya saya tidak dapat mencapai kepuasan di dalam pekerjaan yang saya lakukan.

Begitulah panjangnya coretan saya kali ini. Sungguhpun tidak sedramatik mana tetapi moga ia memberikan manfaat kepada kita semua di dalam kita mencapai self-esteem yang tertinggi. Daripada itu, bersama-samalah kita mendoakan kejayaan kita di masa hadapan kelak. Insyallah..

Popular Posts