About Me

My photo
An Air Asia Cabin Crew/ Entrepreneur

Saturday, 28 December 2013

Timur, utara, barat, selatan- Kemana haluan?

Assalammualaikum insan berwawasan,

Pengertian, ketulusan dan penghayatan. Saya layangkan yang tersirat bersimpul mati ke dalam ungkapan berbahasa. Burung itu kita, sayap itu kekuatan dan terbangnya itu impian.

Setiap daripada kita mempunyai impian masing-masing. Begitulah mudahnya menanam impian dan sukarnya mengejar cita-cita. Impian kita kadangkala jauh sampai ke langit dan ada juga yang hampir untuk digapai dengan tangan. Begitulah saya. Saya percaya, kehidupan ini tidak ada yang mudah kerana segalanya perlu diusahakan. Dunia ini adil, adil sekiranya kita percaya Allah yang merencana segalanya. Melihat yang kita tidak lihat, merancang yang kita tidak rancang dan mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Kerana cuma Dia yang tahu apa yang terbaik untuk kita. 

Selama saya mengenali diri, saya tahu saya ini seorang yang degil. Kedegilan ini selalunya saya gunakan untuk meminta-minta kepada Allah untuk memberikan saya peluang. Terasa begitu berhutang kepadaNya. Saya tahu cuma dia yang mendengar. Saya degil kerana saya terlalu nekad mengejar impian. Saya selalu berkata di dalam diri, saya tidak inginkan merasai kekayaan, kemewahan dan pangkat apatah lagi nama untuk diagungkan. Apa yang saya mahukan kepuasan hidup, kepuasan saya mengejar agenda yang telah saya rencanakan. Pergi jauh dan mencari haluan hidup sendiri. 

Inilah masa untuk saya mencari kehidupan sebenar, keluar daripada kepompong. Bukan kerana ingin lari daripada tanggungjawab yang ada tapi mengenal nilai sebenar usaha dan bebanan, sebelum memikul peranan yang lebih hebat mendatang. Apa yang penting sekali, restu di dalam pembebasan kerana segala-galanya bermula dengan keberkatan. Mengejar apa yang saya impikan untuk cara mencapai aras tertinggi Hierarki Keperluan Maslow iaitu Self-esteem. Saya ingin mengenali diri, menjelajah, menggapai bintang dan merialisasikan tekad. 

Saya tahu kerana saya dilahirkan sebagai orang biasa Allah pasti akan memberikan jalan yang seadilnya untuk saya berpaut selama hayat ini. Lantas, kemungkinannya cuma ada dua, pulang kerana tiada upaya atau terus terbang bersama kekuatan hati. Sejauh mana burung itu terbang, setinggi mana cecitanya ditanamkan, suatu hari dia pasti akan pulang. 

Thursday, 26 December 2013

Sebulan Bergelar Graduan

Hi, pejam celik pejam celik, rupanya genap sebulan sudah saya bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah. Huh, tiada apa yang boleh dibanggakan. Sejak sebulan lalu saya berusaha mencari pekerjaan, menghadiri sebarang temuduga, menghantar resume dan menyertai karnival-karnival kerjaya. Tapi masih belum berhadil. Pun begitu, sebelum cuti semester lepas sempat jugalah saya mengisi ruang yang ada untuk menjadi guru ganti si salah sebuah sekolah pedalaman. Dapat jugalah saya menghindarkan diri daripada dicop sebagai penganggur bertauliah. Haha

Saya mengakui menjadi seorang graduan ini merupakan cabaran baru dalam hidup. Cabaran yang akan menduga kesabaran serta memberikan tekanan baru dalam hidup. Apabila orang dipersekitaran mula sibuk bertanya, apakah yang sedang saya lakukan sekarang? Agak terkedu-kedu jugalah menjawabnya. Apapun kehidupan ini harus diteruskan dengan tenang dan jangan mengalah untuk terus berkerja lebih kuat lagi.

Sekali-sekala chit-chat dengan kawan-kawan seuniversiti. Ada juga sebilangan kecil yang sudah pun mula membina kerjaya masing-masing. Tapi ramai jugalah dalam kalangan kami yang asyik mengeluh nasib kerana masih belum bertemu jalan. Walau apapun, jangan sesekali pernah berhenti, mungkin belum rezeki lagi. InsyallaAllah bila rezeki datang nanti bila Allah nampak kita bekerja keras, berwawasan dan mempunyai matlamat serta diiringi dengan tawakkal.


Hendak dikhabarkan kepada semua, 21 Desember lepas saya ada juga pergi sekali lagi menghadiri temuduga terbuka yang diadakan di Airasia Bhd, Kota Kinabalu dan syukur Alhamdulillah, saya terpilih diantara 11 orang lain daripada 70 lebih orang yang menghadiri temuduga sama. Masing-masing 6 lelaki dan 5 perempuan. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kegembiraan saya pada ketika itu. Ucapan yang terkeluar dari bibir hanyalah rasa syukur kepada yang Maha-Esa.

Sebagaimana yang disarankan, kami tidak boleh meletakkan harapan yang terlalu tinggi di dalam temuduga ini. Walaupun kami telah terpilih tetapi kami masih lagi perlu melalui beberapa saringan mengikut prosedur yang di tetapkan oleh Airasia. Menurut salah seorang rakan yang terpilih pada ketika itu, kami semua yang terpilih akan dihubungi melalui telefon dan E-mail selepas 2 minggu. Saya mengharapkan doa pembaca semua. Semoga Allah memberikan kemudahan dalam saya mengejar impian ini.

Apapun keputusannya, semoga saya dapat menerima segalanya dengan hati terbuka, yang penting jangan putus asa dan teruskan mencuba. Saya percaya apabila kita mengkehendakinya, Allah pasti akan berikan kita petunjuk jalan sebagaimana yang telah direncanakannya. Saya masih ingat kata-kata terakhir saya semasa temuduga lepas, “I don’t  believe on luck. if you want it you have to work for it”. 

Popular Posts