About Me

My photo
An Air Asia Cabin Crew/ Entrepreneur

Wednesday, 30 April 2014

Air Asia Academy

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua,

Selama lebih dua bulan tidak berpeluang bercerita di blog, Alhamdulillah hari ini memanfaatkan sedikit masa berkongsi pengalaman dua bulan menjalani latihan di Air Asia Academy. Jika sebelum ini aku selalu bercerita tentang impian, cita-cita, dan harapan. Syukur kehadrat Allah peluang yang diberikan ini cukup bermakna sekali dalam hidup aku. Inilah bukti Allah mendengar doa-doa hambanya.

Terjun ke bidang penerbangan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Sejujurnya, aku sendiri tidak menyangka sesukar ini perjalanan yang terpaksa dilalui untuk menjadi seorang pramugara. Dari situ, aku percaya tidak ada satu perkara pun yang mudah di dunia ini. Apatah lagi sekiranya kita terlalu menginginkannya, pasti kita akan berusaha sehabis baik untuk memastikan kita tidak tersingkir atau disingkirkan. Di sini semua orang berusaha sehabis baik untuk memberikan yang terbaik dengan apapun khudrat yang ada.

Minggu pertama dan kedua cukup merujakan, segalanya bermula dengan keseronokan. Namun, menjadi seorang pramuga bukanlah semata-mata untuk belajar di dalam kelas penampilan diri (grooming class) semata-mata. Malah, lebih daripada itu. Minggu ke tiga dan seterusnya, lebih banyak mencabar keupayaan mental dan memori. Pelbagai perkara sudah mula menghantui fikiran, aku ringkaskan dengan pepatah melayu yang berbunyi "tidur tak lena, makan tak kenyang" dengan bunyi berbeza iaitu "tidur sudah mula tidak lena, makan pun sudah tiada selera". haha.

Pada masa itu, aku tidak menyangka bukan cuma aku yang terfikir "begini sukar rupanya untuk menjadi seorang Flight Attendant?" rupanya rakan seperjuangan ketika itu (Batch Mate 178) turut berkongsi kotak fikir yang sama. Sebagai seorang pramugara/ pramugari banyak perkara yang perlu ada di dalam diri seseorang, bukan sahaja untuk dilihat elok dan baik di hadapan penumpang tetapi lebih daripada itu. Mereka juga perlu mahir mengendalikan pelbagai situasi yang mungkin berlaku di dalam kabin melibatkan kecemasan dan keselamatan dengan penuh keyakinan dan dedikasi.

Setiap orang daripada kami dibekalkan dengan 3 buah manual yang berkaitan dengan teori penerbangan (Aviation), manual berkaitan prosedur keselamatan dan kecemasan, dilatih dengan teori First Aid serta mengaplikasikannya dan banyak lagi kemahiran-kemahiran lain. Ketika ini aku mula berfikir ini bukanlah masa untuk aku berseronok. Aku perlu lebih serius untuk memastikan aku kekal bertahan di sini. Mana tidaknya, markah lulus untuk setiap ujian dan peperiksaan yang wajib di hadapi oleh setiap orang daripada kami ialah 90%. Bayangkanlah pada ketika itu, betapa kerja kerasnya setiap orang yang berada di situ. Semua topik yang diajar perlu dihafal dan difahami dengan sepenuhnya. Dari sinisegala kesungguhan dan kerja keras dapat dilihat. 

Sebulan lebih berat badan aku hilang, makan aku tidak teratur, tidur tidak menentu. Semuanya kerana ini memastikan aku melepasi setiap peperiksaan yang diduduki. Saat ini, apa yang penting adalah kerjasama, sokongan dan dorongan daripada rakan-rakan (Batch 178) kerana setiap orang daripada kami datang dengan impian sama. Maka, setiap orang saling memahami diantara satu sama lain bagi memastikan tiada sesiapa pun akan kecundang di pertengahan jalan. Ketika ini, kekuatan mental, motivasi diri dan keteguhan jati diri tercabar. Sungguh pun begitu, aku pengang prinsip "tidak undur sebelum berperang". Selagi mana usaha, aku percaya pasti tidak sia-sia.

Syukur kehadrat Allah, segalanya telah dilalui. Sungguh pun sukar, tidak ada perkara yang dapat menghalang kita daripada berjaya sekiranya kita terus berusaha, mengetahui cara untuk menghormati orang lain dan menghargai setiap individu yang berada di sekeliling kita. Selain mengetahui tempat yang betul untuk kita mengadu sekiranya kita mengalami kesusahan hidup. Allah SWT Maha-mendengar dan Melihat serta Maha-Pengasih dan Penyayang.

Pun begitu, perjuangan hidup sebenarnya belum selesai. Masih banyak lagi cabaran yang perlu di lalui terutamanya apabila berada di dalam industri sebegini. Setiap orang krew tidak akan terlepas daripada penilaian kompetensi setiap kali mengendalikan tugas di dalam kabin. Ujian, peperiksaan dan pemeriksaan berperingkat perlu untuk di hadapi bagi menilai keupayaan seseorang krew untuk memastikan mereka peka terhadap aspek keselamatan dan kecemasan, kompeten mengendalikan operasi dalam kabin dan mengetahui peranan sebagai krew terhadap penumpang.


Popular Posts